Huraian oleh :
al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Hadis 1
" إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ "
Hadis ini diriwayatkan daripada Amir al-Mukminin (Pemimpin orang-orang beriman) Abi Hafs, `Umar bin al-Khattab bin Nufayl bin Abd al-`Uzza bin Rabah bin `Abdillah bin Qurtd bin Razah bin `Adi bin Ka`ab bin Lu’ay bin Ghalib al-Qurasyi al-`Adawi – mudah-mudahan Allah meredhainya- katanya:
"Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Segala amalan itu hanya berdasarkan niat. Dan setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya maka penghijrahannya itu adalah menuju kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehinya atau kerana seorang wanita yang bakal dikahwininya maka penghijrahannya adalah menuju kepada tujuan penghijrahannya itu".
Takhrij Hadis(satu cabang ilmu dalam bidang hadis)
Hadis ini disepakati kesahihannya yang diriwayatkan oleh dua tokoh hadis iaitu Abu `Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbat al-Ju`fi al-Bukhari dan Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj bin Muslimal-Qusyayri al-Naysaburi – mudah-mudahan Allah meredhai kedua-duanya - dalam kedua-dua buku hadis sahih mereka yang merupakan dua buah buku yang paling sahih yang dikarang.
- Hadis riwayat Bukhari, Kitab Bad’ al-Wahy (no1),
- Muslim, Kitab al-‘I`arah (no 1907),
- Abu Dawud, Kitab al-Tdalak (no 2201),
- Ibn Majah, Kitab al-Zuhd (no 4227),
- al-Baihaqi dalam Sunan Kubra, Kitab al-Tdaharah) (no 182 dan 183).
Huraian Hadis
Hadis ini mengandungi dua kaedah dan tiga contoh. Dua kaedah tersebut ialah:
Pertamanya : Setiap amal diambilkira berdasarkan niat. Justeru niat perlu diperbetulkan dalam melakukan segala amalan..
Keduanya : Setiap orang hanya akan mendapat pahala berdasarkan niat.. Sekiranya diniatkan kerana Allah akan diberikan pahala. Jika tidak tidak akan mendapat apa-apa.
Niat terbahagi kepada dua.
- Pertamanya niat yang bertujuan untuk membezakan jenis amalan. Ia pula terbahagi dua.
- Pertamanya niat yang bertujuan untuk membezakan antara adat dan ibadat. Amalan mandi membersihkan diri adalah amalan adat. Amalan mandi untuk mengangkat hadas besar adalah amalan ibadat. Niat akan menentukan status sebenar amalan mandi tersebut.
- Keduanya niat yang bertujuan untuk membezakan antara amalan ibadat. Solat sunat dua rakaat adalah sama dengan solat subuh yang wajib.. Niat membezakan antara kedua-duanya.
- Niat jenis kedua pula ialah niat yang akan membezakan untuk siapa dilakukan amalan samada untuk ALLAH atau lainNya. Inilah yang menjadi fokus hadis.
Tiga contoh yang disebut oleh Nabi saw untuk menjelaskan dua kaedah sebelumnya ialah amalan hijrah. Adakah ia hijrah untuk mendapat keredhaan ALLAH? Atau hijrah dengan niatnya mendapat habuan dunia? Atau hijrah dengan niat mengahwini seorang perempuan. Perkiraan pahala samada dapat atau tidak adalah berdasar niat.
Justeru, setiap amalan mestilah dibetulkan niat iaitu hendaklah dilakukan untuk mencari keredhaan ALLAH.
|