Active TopicsActive Topics  Display List of Forum MembersMemberlist  CalendarCalendar  Search The ForumSearch  HelpHelp
  RegisterRegister  LoginLogin
Perbincangan ilmu2 yang berasaskan jin
 Forum Rawatan SihirSeksyen Ahli Serious berYURAN (Malay Only)Perbincangan ilmu2 yang berasaskan jin
Message Icon Topic: Ciri-ciri Ajaran Sesat - UTUSAN Post Reply Post New Topic
Author Message
abg_ramz
Admin Group
Admin Group
Avatar
Perawat Darussalam

Joined: 20-Nov-2006
Location: Malaysia
Online Status: Offline
Posts: 6190
Quote abg_ramz Replybullet Topic: Ciri-ciri Ajaran Sesat - UTUSAN
    Posted: 25-Apr-2008 at 11:31am
Assalamu'alaikom,
 
Tempohari ada seorang Hamba ALLAH telah cuba ym saya berapa kali, saya ingatkan ada kes rawatan emergensi. Rupa-rupanya di pejabatnya sudah masuk ajaran sesat, dan ahli2 tersebut sudah giat kempen orang2 di pejabat join.
 
Setahu saya ajaran tersebut banyak rahsia; sehingga apa diajar pun tak boleh ditulis atau dikitabkan; menyebabkan sesama ahli pun tak pasti apa sebenar ajaran 100% dari guru asal. 
 
Selain itu, biasanya ajaran takda buku ini, tujuannya untuk halang usaha untuk orang lain nak kaji / nak siasat. Bila dah takda buku rujukan,  mereka boleh tukar-tukar point2 bila-bila masa. Dan untuk nak kaji, kena jadi ahli dulu, baru mereka beri tahu.... Big%20smile tetapi bila dah jadi ahli, kena simpan rahsia... Shocked 
 
Saya sarankan Hamba ALLAH untuk report pada JAKIM sebelum melarat; tetapi tak pasti dia buat atau tidak. Orang Melayu kita ni al-maklum takut nak report sebenarnya.
 
Orang hisap dadah dekat rumah dia pun dia taknak report, sampailah barang2 rumah kena curi, atau anak-dara dia usik, barulah dia akan report, atau dia sendiri kena debik, kena ikat bila jiran dia dah high.
 
Lepas dah kena 1-2 das, barulah mereka datang tanya belajar apa2 ayat2 nak baca untuk bagi pencuri/penagih tu serik, walhal peluang untuk halang jenayah dengan cara report ke pihak polis dah lama ALLAH berikan. Mungkin bila dia kena 1-2 das tu barulah ilham tu senang sikit keluar dari kepala dia kot.
 
Semuanya nak tunggu Special Branch datang siasat, atau polis datang ronda, walhal SB dan Polis pun tunggu laporan sebelum bertindak.
 
Begitulah celoteh pendek hari Jumaat.....
 
 
BICARA AGAMA

Ajaran sesat - Awasi ciri dan tipu daya

Oleh Mohd Nizam Sahad

Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, telah pun berlaku sejak pengIslaman rantau ini lagi.

Menurut H.O.K. Rahmat S.H. dalam bukunya Pencemaran Akidah Di Nusantara, pengaruh dalaman seperti kebudayaan dan kepercayaan asal pribumi seperti dinamisme dan animisme serta pengaruh luaran seperti unsur Hindu-Buddha, Yahudi, Kristian, Yunani Purba menjadi punca pencemaran kepada akidah umat Islam dewasa ini.

Malahan dari sudut awal sejarah Islam juga, ajaran yang menyeleweng dari landasan Islam sebenar telah wujud pada zaman sahabat dan tabi`in dengan munculnya kumpulan-kumpulan seperti Khawarij, Syiah, Murjiah, Qadariyah, Jabbariyah, Muktazilah sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab al-Milal wa an-Nihal karangan as-Syahrastani.

Pada masa kini, negara kita juga yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah wa al-Jamaah sejak sekian lama, tidak dapat lari daripada menghadapi masalah yang sama dan mula dicemari dengan pelbagai ajaran sesat yang kebanyakannya bertopengkan ajaran tarekat-tarekat.

Sebahagian kumpulan ajaran sesat yang wujud di Malaysia ini, ada yang masih aktif dan sebahagiannya ada yang telah berkubur, akibat tertangkapnya ketua mereka mahupun ditolak oleh masyarakat.

Menurut Wan Mohd. Azam dalam bukunya Ajaran Sesat, antara kumpulan ajaran sesat yang masih aktif ialah seperti Qadiani, Taslim, Bahai, Anti Hadis, Tarekat Naqsyabandiyyah Kadirun Yahya, Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan ini bergerak secara rahsia untuk mengembangkan ajaran mereka kepada orang awam.

Fenomena ini perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berkuasa terutamanya Jabatan Agama Islam Negeri dengan kadar segera, agar ia tidak menjadi barah yang sukar diubati kelak. Peristiwa penangkapan sekumpulan pengikut tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol pada di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor jelas menunjukkan bahawa pegangan akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah di Malaysia sedang cuba dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Antara ciri-ciri ajaran sesat yang wujud di Malaysia, ialah wujudnya budaya memuja dan mendewa-dewakan ketua kumpulan sehingga sanggup menganggap ketua mereka sebagai orang suci atau wakil Tuhan yang maksum. Segala perintah ketua mereka wajib dipatuhi walaupun perintah itu bertentangan dengan akhlak, akidah dan syariat Islam yang sebenar. Mereka percaya bahawa jika arahan ketua mereka tidak dipatuhi, malapetaka dan kesusahan akan menimpa mereka.

Ciri lain yang membolehkan kita mengenali sesuatu ajaran atau amalan itu dianggap sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, ialah apabila guru atau murid satu-satu ajaran atau tarekat tersebut membuat pengakuan menerima wahyu daripada Allah s.w.t. atau guru sesuatu ajaran itu membuat pengakuan bahawa dia memegang kunci syurga, atau murid sesuatu ajaran itu mendakwa bahawa gurunya adalah nabi atau malaikat atau setanding dengannya.

Kriteria yang lain, pembawa ajaran itu mendakwa amalan dan tindakan mereka seperti zikir yang diajarkan kepada muridnya boleh menggagalkan kiamat. Kaedah berzikir yang dilakukan mereka haruslah menggambarkan wajah guru dalam fikiran mereka. Mereka juga harus menyerah diri secara rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dan sebagainya.

Mereka juga mendakwa hanya pengikut tarekat yang diamalkan oleh golongan mereka sahaja yang dijamin masuk syurga. Mereka turut mempercayai bahawa semua agama adalah sama dan mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa mereka dengan membayar wang atau harta kepadanya.

Guru ajaran sesat juga mengaku bahawa Allah menjelma dalam dirinya, mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil nabi yang boleh memberi syafaat kepada murid atau pengikutnya. Ia juga mendakwa mengetahui tafsiran batin bagi ayat-ayat suci al-Quran yang jelas menyimpang. Mereka turut menterjemah atau menafsir ayat-ayat al-Quran dengan lambang yang direka sendiri tetapi tidak ada dalam nas al-Quran atau hadis.

Selain itu, adanya unsur mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya, mempercayai bahawa orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahdi dan sebagainya, mengaku dan mempercayai adanya kemasukan roh orang yang telah mati ke dalam diri seseorang lain sebagaimana upacara menurun yang dilakukan oleh bomoh.

Ciri-ciri lain ajaran sesat adalah golongan ini sanggup mengkafirkan setiap orang yang berada di luar gerakan mereka dan menghalalkan darahnya. Mereka juga menetapkan setiap pelanggaran dosa dan maksiat yang dilakukan anggotanya dapat ditebus dengan wang dalam jumlah tertentu kepada guru mereka.

Tidak hanya itu, ciri yang paling menonjol daripada gerakan mereka adalah menghalalkan segala cara untuk membiayai gerakan mereka, seperti merompak, mencuri, menipu dan sebagainya.

Selain ciri di atas termasuklah tindakan yang berupa perbuatan atau percakapan yang seolah-olah memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Mereka mendakwa, tidak perlu lagi melakukan ibadah kalau telah merasa yakin atau sampai ke makam tertentu. Ada juga di kalangan mereka yang mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di tempat-tempat lain. Ajaran mereka cuba untuk meremehkan syariat dan dalam masa yang sama cuba untuk menghalalkan yang haram.

Berdasarkan sebahagian ciri-ciri ajaran sesat yang dipaparkan ini, umat Islam terutamanya orang awam harus berwaspada dalam menyertai mana-mana kumpulan ajaran agama demi memelihara kesucian dan keutuhan akidah dan syariat Islam. Elakkan diri daripada sebarang kumpulan yang mempunyai ciri-ciri tersebut. Janganlah terpengaruh dan terikut-ikut sesuatu ajaran yang kita tidak ada ilmu tentangnya kerana dibimbangi ia akan merugikan diri dan kita akan dimurkai oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya :

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya (Al-Isra: 36)

Larangan Allah dalam ayat di atas adalah menjadi undang-undang yang meliputi segala soal dalam alam kehidupan ini. Kita tidak boleh memperkatakan atau melakukan sesuatu yang kita tidak mengetahuinya. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan terhadap perkara yang telah dilihat oleh mata, di dengar oleh telinga dan diketahui oleh hati.

Dalam soal akidah pula, kita tidak boleh mempercayainya melainkan dengan dalil sah yang membuktikan kebenarannya. Larangan Allah ini hendaklah dipatuhi kerana mata, hati dan telinga akan ditanya oleh Allah s.w.t. pada Hari Kiamat nanti tentang apa yang telah dilakukan oleh kita semua.

Menurut al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq, antara kaedah yang diguna pakai oleh kumpulan ajaran sesat seperti Batiniyah misalnya, ialah dengan memperdayakan mangsa yang menjadi sasaran dengan sembilan langkah.

1. AT-TAFARRUS iaitu menilik mangsa sama ada mampu dipengaruhi atau tidak. Dalam hal ini, pemangsa kepada mangsa harus pandai menimbulkan kekeliruan dan keraguan kepada mangsa terhadap apa yang diyakininya dan mengetahui tafsiran batin terhadap nas-nas yang zahir.

2. AL-TA'NIS, iaitu pemangsa akan cuba memperlihatkan kebaikan ajarannya dengan bersikap ramah mesra, menunjukkan watak seperti zuhud dan warak bagi menarik minat mangsa. Pada tahap ini, sikap pemangsa akan disesuaikan menurut cita rasa dan kesukaan mangsa. Kalau bangsa seorang peminum arak, pemangsa juga akan turut serta dengan perlakuan tersebut.

3. AT-TASYKIK, iaitu cuba menimbulkan keraguan dengan cuba bertanya perkara yang bukan-bukan dalam hal syariat seperti kenapa sembahyang Zuhur empat rakaat, Subuh dua rakaat? Apabila mangsa tidak dapat menjawab, pemangsa tidak terus memberi jawapannya, sebaliknya menangguhkan jawapan dengan alasan pada masa ini jawapannya adalah rahsia.

4. AT-TA'LIQ, iaitu menggantung sementara jawapan rahsia tersebut sebagaimana yang diterangkan di atas tadi.

5. AR-RABT, sekiranya mangsa ingin tahu juga tentang ilmu rahsia itu, mereka diminta melakukan ikatan perjanjian. Sekiranya diberitahu tentang rahsia tersebut mereka tidak akan membuka rahsia ajaran itu kepada orang lain. Kemudian diajarkan kepada mereka rahsia batin daripada taklifan syariat. Apabila telah mendapat ilmu batin, maka yang zahir tidak perlu dilaksanakan lagi. Sebab itulah ada di antara mereka yang tidak sembahyang, tidak puasa dan sebagainya tetapi sebaliknya menghalalkan pula yang haram seperti minum arak dan berzina.

6. AT-TADLIS, iaitu pemangsa akan terus berhujah dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis dengan tafsiran yang berbeza dengan ulama muktabar Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah. Mereka mengatakan bahawa yang zahir itu azab dan yang batin itu rahmat.

7. AT-TA'SIS, iaitu meletakkan asas ajaran yang menyeleweng ke dalam fikiran mangsa.

8. MAWATHIQ BI AL-IMAN WA `UHUD, pemangsa akan terus mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan mangsa terhadap ajaran dan perjanjian yang termeterai antara mangsa dan kumpulan ajaran atau ketua mereka.

9. AL-KHALA' WA AL-SALAKH, tahap terakhir dengan sendirinya mangsa akan terlucut dan terkeluar daripada ajaran Islam sebenar dan masuk ke dalam aliran yang sesat tanpa disedarinya.

Sebagai kesimpulannya untuk mengatasi masalah ini, umat Islam hendaklah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan agama dan sentiasa bertindak atas dasar ilmu yang benar. Jika merasakan sesuatu ajaran agama itu mempunyai unsur dan ciri-ciri yang terseleweng, maka hendaklah segera dijauhi dan merujuk kepada pihak yang berkuasa khasnya pihak berkuasa agama.

Laporkan gerakan kumpulan ajaran sesat kepada pihak berkuasa bagi menunjukkan rasa keprihatinan kita dalam mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah yang diakui benar oleh majoriti umat Islam di seluruh dunia. Sama-samalah kita berperanan dalam memelihara kesucian akidah, syariat dan maruah umat Islam sejagat daripada terus dicemari.

Saya hanyalah seorang tukang seru; berserulah kita kepada ALLAH, Tuhan yang menguasai Segala Apa yang di Langit dan di Bumi
IP IP Logged
Post Reply Post New Topic
Printable version Printable version

Forum Jump
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot create polls in this forum
You cannot vote in polls in this forum

Bulletin Board Software by Web Wiz Forums version 8.05
Copyright ©2001-2006 Web Wiz Guide

This page was generated in 0.016 seconds.